Thursday 20 December 2012


 
 MURID HARI INI MENJADI MODAL INSAN DI MASA HADAPAN
 
Dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi ini, dan demi memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan,  pembangunan sumber manusia perlu digilap kerana merupakan salah satu  elemen terpenting dalam agenda pembangunan negara  Hal ini telah ditekankan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia satu ketika dahulu. Ekoran itu, telah ada wawasan serta usaha untuk membangunkan modal insan melalui pelbagai program pendidikan berkualiti dan holistik untuk memperlengkapkan warga Malaysia bagi menghadapi dunia global. Di samping pelbagai program  pendidikan ini, usaha digembleng untuk melahirkan modal insan yang  kreatif dan inovatif. Semua ini diharap akan dapat melahirkan modal insan yang berfikiran dan berbudaya kelas pertama. Demi merealisasikan agenda negara,  negara memerlukan barisan modal insan  yang menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, berkemahiran dan bermaklumat. Umum mengetahui bahawa satu tempat awal untuk menghasilkan modal insan yang diharapkan itu adalah di sekolah.  Oleh itu, pelbagai langkah boleh dilakukan oleh para guru untuk memastikan pembelajaran yang diterima oleh murid di sekolah dapat membantu membentuk mereka menjadi modal insan negara yang diharapkan. Sejak dahulu lagi aspek nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar, masyarakat kreatif dan inovatif serta berfikiran dan berbudaya kelas pertama, dan warga yang menguasai pengetahuan, ilmu, kemahiran dan maklumat merupakan ciri-ciri yang harus ada pada modal insan yang diharapkan itu. Seseorang yang berkerjaya pendidik seharusnya peka tentang harapan melahirkan modal insan seperti yang digariskan di atas.

Oleh Mary Fatimah Subet Dayang Sariah Abang Suhai UNIMAS 


No comments: