Monday 19 November 2012

PUISI MELAYU JOHOR

Melayu Johor  
Oleh: Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Saturday 10 November 2012

PENGENALAN



BAHASA JIWA BANGSA

Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak Negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat Negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia. Budi bahasa budaya kita, inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai penutur bahasa melayu tanpa mengambil  kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di Negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita kagumi oleh masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi :

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa. Antara lainya berbunyi:

Kalau cakap tidak cermat,
Tentu kamu tidak selamat,
Kalau cakap tidak cermat,
Kalau kelakuan tidak hormat,
Tentu hidup tidak selamat.

Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu:

Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan.
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.

Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan berbudi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. 


sumber maklumat : Berita Harian